26 Oktober jam 10.30 pagi
Ke Bandar Akademia, Lenggeng, Negeri Sembilan tengok rumah contoh. Jauh juga Bandar Akademia ni dari KL lebih kurang 50 km dan dari Kajang 23km Lebih hampir dengan Beranang, jaraknya 3km saje dan dari Semenyih 13 km. Ahad lepas masa pergi ke Festival Islam Antarabangsa di PWTC, sempat singgah di kaunter jualan lot banglo BA di The Mall. Promoter tu cadang aku lihat rumah contoh yang dah siap dibina.
Kat sini aku nak kongsi gambar-gambar yang sempat diambil masa melawat rumah contoh Daisy. Harga rumah beserta tanah dengan keluasan 50' x 80' RM240,300. Aku dimaklumkan bahawa rumah akan siap dalam tempoh di antara 2 - 3 tahun. Pegangan tanah adalah hak milik bebas ( freehold ). Sebenarnya aku dah bayar RM200 untuk tempah lot tanah. Kalau tak jadi beli, duit RM200 akan dikembalikan. Kepada sesiapa yang berminat nak beli, aku cadang pergi tengok dulu tanah tapak banglo yang kau orang cadang nak beli. Dalam kes aku, tapak banglo yang aku nak beli tu berhampiran dengan pencawang elektrik. Selepas buat sedikit kajian, aku batalkan hasrat nak beli banglo tu sebab kedudukannya berhampiran dengan pencawang letrik. Walaupun jaraknya adalah dalam lingkungan yang dibenarkan, tapi dalam jangka masa panjang ia tetap akan memberi kesan kepada kesihatan manusia. Kau orang boleh dapat banyak maklumat mengenainya di Internet.
Lagi satu yang aku tak berapa nak suka rekabentuk banglo ini ialah dapurnya bersekali dengan ruang tamu - dapur kering. Jadi kalau nak buat dapur basah, kena extend untuk buat dapur. Ataupun ada ruang kecil lebih kurang 5' x 5' yang sesuai untuk buat study room yang boleh diconvert jadi dapur.
Rumah Kelab dah siap dibangunkan dan keahlian kelab percuma. Jenis-jenis lain yang dicadang bina adalah banglo setingkat 1 bilik, 2 bilik dan 3 bilik serta banglo 2 tingkat 5 bilik.
Di rumah kelab ada master plan bagi pembangunan Bandar Akademia ini. Projek ini merupakan projek The Lion Group dan banglo direka dan dibina oleh Selayang Alunan Sdn. Bhd.