Followers

Tuesday, 8 November 2011

Penggantungan Operasi Monorel Melaka Sementara - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat

KUALA LUMPUR: Penggantungan operasi perkhidmatan monorel Melaka selama sebulan mulai Sabtu lalu adalah bersifat sementara dan tidak semestinya perkhidmatan itu dihentikan untuk tempoh tersebut.
Arahan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menghentikan operasi itu selama sebulan adalah bagi memberi masa yang cukup kepada pengendali perkhidmatan itu melakukan kerja-kerja teknikal bagi memenuhi keperluan keselamatan.

Ketua Pegawai Operasi SPAD, Azhar Ahmad berkata sekiranya pengendali dapat memenuhi syarat-syarat tersebut dalam masa kurang 30 hari, maka Monorel Melaka boleh beroperasi seperti biasa.
"Ini bermaksud, jika pengendali dapat memenuhi syarat-syarat keselamatan dalam masa satu minggu, maka mereka boleh meneruskan perkhidmatan pada mingguhadapan", katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata keputusan untuk menghentikan perkhidmatan itu dilakukan setelah mengambil kira syor dan cadangan dari pakar dan ahli profesional dari bahagian kejuruteraan berteraskan kepentingan dan keselamatan pengguna awam.

"Pemeriksaan mendapati wujud beberapa perkara yang perlu diberi perhatian serius sebelum Monorel Melaka dibenarkan untuk beroperasi semula.

"Antaranya penyediaan pelan tindakan kecemasan jika berlaku sebarang kejadian ketika beroperasi serta melakukan pengalih bahasa ke atas semua dokumen berkaitan monorel tersebut, dari bahasa Cina ke Bahasa Melayu atau Inggeris," tambah beliau.

Pada 1 November lepas dua pelancong Britain melalui detik cemas dibawa turun melalui tangga setinggi lima meter selepas terperangkap selama 20 minit di dalamgerabak apabila perkhidmatan itu terhenti secara tiba-tiba pada 1.09 tengah hari.

Perkhidmatan monorel berkenaan berhenti hanya setelah 20 meter selepas meninggalkan Stesen Hang Jebat.-

BERNAMA

No comments: