Followers

Tuesday 8 November 2011

Buang Gaya Hidup Sedentari Untuk Atasi Osteoporosis





Text oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Gaya hidup moden yang diamalkan secara meluas oleh generasi kini, iaitu gaya hidup sedentari atau santai didapati menjadi punca pelbagai isu kesihatan.

Gaya hidup seharian pula banyak tertumpu kepada duduk dan menonton televisyen, membaca, tidur, melepak dan menghabiskan banyak waktu di depan komputer tanpa banyak melibatkan pergerakan.

Sedangkan rutin senaman dan aktiviti luar hanya melibatkan segelintir masyarakat sahaja.

Malah kajian membuktikan bahawa tiga daripada empat warganegara iaitu sebahagian besar daripada penduduk Malaysia, hanya aktif menggunakan minda tanpa aktiviti fizikal.

Ini diburukkan lagi dengan tabiat pemakanan terkini orang Malaysia yang menyukai pemakanan gaya barat yang tinggi lemak dan kolestrol tetapi rendah fiber seperti stik daging atau potongan kambing muda, pizza pelbagai keju atau pasta.

Dengan kemajuan dalam bidang perubatan, Malaysia dijangka mempunyai 3.4 juta orang berusia lebih 60 tahun menjelang 2020.

Namun ini turut membimbangkan kerana ramai rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan kesannya dapat dilihat apabila mereka meningkat usia.

KEPENTINGAN KESEDARAN KESIHATAN

Sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia menyedari betapa gaya hidup kurang sihat boleh membawa mereka menghidap pelbagai jenis penyakit terutama apabila kos perubatan pasti melonjak lebih tinggi pada masa akan datang.

Satu daripada kesan gaya hidup kurang sihat yang akan dihadapi seiring dengan pertambahan usia ialah osteoporosis.

Osteoporosis sukar dikesan hinggalah penghidap mengalami patah tulang pinggul atau belakang yang adalah komplikasi paling kerap dan serius sakit tulang rapuh.

Malah menurut pakar bedah ortopedik dan trauma, Dr Chin Chee Howe, ramai yang tidak menyedari menghadapi sakit tulang rapuh memandangkan pemeriksaan x-ray hanya dapat mengesan tulang yang telah kehilangan sekurang-kurangnya 50 peratus jisim tulang.

Beliau menegaskan bahawa, badan manusia tidak kira usia sentiasa memerlukan kalsium memandangkan tulang sebenarnya tisu hidup yang sentiasa terurai dan dibentuk semula oleh badan.

WANITA BERISIKO TINGGI

Wanita mempunyai tiga kali ganda lebih risiko berbanding lelaki untuk menghadapi sakit tulang rapuh, ini menyebabkan isu osteoporosis dan gaya hidup kurang sihat sangat penting bagi golongan ini.

Jumlah kalsium dalam badan wanita adalah lebih rendah ekoran jisim tulang dan berat badan yang lebih ringan, tabiat merokok, kurang makan demi menjaga bentuk badan, hamil dan menopaus selain mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

"Lebih menakutkan, kajian mendapati wanita lewat 60an yang patah tulang pinggul sebenarnya lima kali ganda berisiko lebih tinggi untuk mati dalam tempoh setahun akibat komplikasi patah tulang dan terlantar seperti darah beku," jelas Dr Chin.

Hakikatnya, kesan buruk yang timbul dari kemerosotan jisim tulang tidak dapat dielakkan malah menjelang 2050, lebih 50 peratus kes patah tulang pinggul global dijangka bakal berlaku di Asia.

"Apatah lagi dengan kos mengurus dan merawat kes patah tulang yang tinggi, adalah amat penting untuk mengatur strategi awal dan bangun mengambil langkah proaktif bersenam bagi melindungi tulang mereka," kata Chin sambil mengingatkan bahawa usaha mencegah lebih baik berbanding merawat.

TERUSKAN AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Justeru, bagaimana persediaan anda yang terbiasa dengan tubuh badan berfungsi normal sekiranya dalam sekelip mata mengalami patah tulang pinggul ekoran osteoporosis dan terpaksa pula menjalani kehidupan dengan kesakitan dan pergerakan terhad atau berkerusi roda?

Pakar berpendapat bahawa satu-satunya cara melindungi tulang ialah melalui perubahan gaya hidup iaitu amalan pemakanan yang betul dan rutin senaman secara berkala sebelum tulang mencapai jisim tertinggi pada usia 30 tahun.

Amalan diet seimbang serta memastikan keperluan kalsium dipenuhi, dibantu dengan vitamin D menerusi pendedahan kepada sinar matahari selamat, dan magnesium khususnya dari sayuran hijau serta senaman setiap hari boleh melindungi wanita dari masalah tulang rapuh.

Dr Chin mencadangkan aktiviti senaman paling mudah untuk menguatkan tulang ialah berjalan pantas selama 30 minit sehari atau angkat berat yang dapat membantu proses pembentukan semula tulang, selain pengambilan makanan terutama susu berkalsium tinggi dan pelbagai produk tenusu.

"Aktiviti fizikal penting bagi membina dan mengekalkan jisim tulang bagi membolehkan kita menggunakan potensi tulang kita dengan sepenuhnya, selain dapat mencergaskan badan dan mental," tegas beliau sambil mengakui susu berkalsium tinggi dan yogurt rendah lemak adalah pilihan terbaik wanita.

KHASIAT UNTUK TULANG

Berbicara tentang cara pengambilan kalsium, beliau menyarankan agar makan makanan dengan kandungan kalsium tinggi adalah lebih berkesan berbanding suplimen kalsium yang mudah didapati di pasaran, selain magnesium dan vitamin D juga penting bagi membantu badan menyerap kalsium dengan lebih berkesan.

Contoh terbaik makanan yang mengandungi khasiat lengkap untuk kesihatan tulang ialah, produk tenusu, sayur berdaun hijau, produk kacang soya seperti tauhu dan tempe, ikan seperti sardin, salmon dan tuna, dan makanan laut.

Pokoknya, setiap individu perlu mempunyai kesedaran kesihatan seawal mungkin dengan mendapatkan rawatan awal atau pencegahan penyakit awal bagi bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang bakal mengganggu kesihatan dan kesejahteraan hidup apabila lanjut usia.

Sementara itu, hasil kaji selidik Fonterra yang merupakan syarikat pengeluar dan pengedar susu terbesar New Zealand, mendapati sebahagian besar wanita Malaysia menyedari kepentingan kalsium untuk kesihatan tetapi malangnya, ramai yang mengambil ringan kerana menganggap mereka terlalu muda untuk merasa bimbang.

Bagaimanapun, Fonterra baru-baru ini telah mengiatkan lagi kempen mempromosi rangkaian produk tenusu Anlene yang diperbaiki dari masa ke semasa termasuk produk terbaru Anlene Concentrate, minuman susu kotak kecil yang mengandungi lebih banyak kalsium berbanding susu segar biasa.

-- BERNAMA

No comments: