Followers

Friday, 10 June 2011

Melbourne Menerima Kunjungan Ku

Semasa membuat tempahan tiket AirAsiaX pada 19 Jan, 2010, destinasi asal adalah ke Abu Dhabi, United Arab Emirates tetapi atas sebab-sebab tertentu, pengurusan AirAsiaX telah membatalkan laluan penerbangan AAX dari KL ke Abu Dhabi dan dari Abu Dhabi ke KL. Sebagai gantinya kami diberi pilihan untuk menukar destinasi ke mana-mana destinasi AAX kecuali London. Kami mengambil keputusan untuk ke Melbourne, Australia memandangkan kami belum pernah lagi pergi ke Negara Mat Salleh.


Pada 8 Oktober 2010 jam 10.30 malam tepat pada waktunya  berlepaslah kami ke melbourne dengan penerbangan AAX D72724. Jam 9.20 pagi waktu tempatan kapalterbang pun mendarat di Lapangan Terbang Melbourne.



 9 Oktober 2010 ( Hari Pertama )


Masa kami sampai Melbourne mengalami musin spring. Cuaca  sekitar 10 darjah celsius. Pemeriksaan immigresen di Melbourne Airport agak ketat. Kami mengambil  lorong yang ada barang-barang untuk di declare kerana membawa makanan. Baik declare kalau tak lain maslah pula yang timbul. Kalau tak ada rezeki mereka  akan ambil makanan  yang kita bawa. Alhamdulilah, tak ada satu makanan kami pun yang mereka ambil. Semuanya lepas. Lagi pula kami hanya bawa beberapa bungkus mee segera dan sebungkus roti kosong dan sebotol mentega kacang. Selepas urusan imigresen dan kastam selesai kami singgah di kaunter  Australia Tourism untuk mendapatkan brochure-brochure travel guide. Selepas itu keluar dari Terminal 3 untuk menaiki Skybus ke city center. Kaunter jualan tiket skybus terletak disebelah kiri pintu keluar utama Terminal 3 airport. Anda akan lihat booth berwarna merah. Kami  beli  tiket pergi balik dengan harga AUD26. Kalau sehala AUD16. Jimat AUD6.    Berjalan secara backpacker ini semua perkara kita perlu berjimat.

Baru sampai dari airpot ( di Spencer Street )

Skybus akan berhenti di Southern Cross Station yang terletak di Spencer Street. Skybus menyediakan pengangkutan percuma ( free hotel transfer ) ke tempat penginapan. Anda hanya perlu pergi ke kaunter tiket untuk bertanya jadual perjalanan.  Memandangkan  hotel yang kami  tempah hanya beberapa meter saje daripada stesyen maka kami hanya berjalan kaki sahaja ke hotel tersebut.   Seminggu sebelum bertolak kami telah menempah hotel Enterprize dengan kadar AUD64.50 semalam ( RM194 ) bagi twin room Pihak hotel menawarkan harga istimewa bagi penginapan yang lebih dari 3 malam.    

Penulis bergambar di hadapan Hotel Enterprize


                                                                                                                                             

Tuesday, 7 June 2011

Panduan Mengembara: Perancangan Awal

Bagi memastikan pengembaraan berjalan lancar, perancangan yang rapi perlu dibuat. Aktiviti pengembaraan  memerlukan kita melakukan pelbagai perancangan, termasuk bajet agar tidak berlaku ketidakcukupan wang atau pembaziran serta memastikan pengembaraan lancar tanpa masalah.
   
Perancangan pengembaraan  boleh dibuat dengan menggunakan kemudahan internet, seperti menempah tiket penerbangan dan penginapan,  serta membandingkan  harga tiket kapalterbang dan penginapan, juga  mendapatkan maklumat mengenai lokasi yang ingin dilawati.  Ada banyak laman web yang boleh memberi kita maklumat mengenai tempat yang bakal kita lawati. Maklumat seperti hotel, pengangkutan, tempat-tempat  menarik yang terdapat di lokasi yang bakal dikunjungi, makanan  yang terdapat di situ, perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh kita lakukan di sesuatu bandar/negara, matawang yang digunakan sehingga kepada ancaman yang mungkin terdapat di sesuatu lokasi. Antara laman web yang biasa saya kunjungi adalah http://virtualtourist.com , http://lonelyplanet.com, http://tripadvisor.com atau boleh saje layari laman web  bagi Negara yang berkenaan sahaja contohnya  http://turkeytravelplanner.com, http://chinatravelguide.com dan sebagainya. Anda juga boleh mendapatkan senarai restoren-restoren  makanan dan produk halal yang terdapat di sesebuah bandar atau negara di laman web http://www.zabihah.com. Oleh itu, sebelum memutuskan untuk ke suatu destinasi lakukan penyelidikan terlebih dahulu supaya kita mendapat manafaat daripada masa, tenaga dan wang ringgit yang dikeluarkan untuk pengembaraan tersebut.

Sunday, 5 June 2011

Panduan Mengembara: Semasa Ketibaan

Di sini ingin saya kongsi beberapa panduan bagi mereka yang ingin untuk mengembara secara sendiri berdasarkan pengalaman yang pernah saya lalui.

Apabila  tiba di sesebuah negara, bersama-sama anda adalah duit, kad kredit atau barang-barang berharga yang lainnya. Ramai orang yang ingin menghulurkan bantuan. Anda tentunya tidak mahu orang mengambil kesempatan ke atas diri anda. jadi berhati-hatilah.

Sebelum memulakan pengembaraan, dapatkan maklumat awal mengenai layout lapanganterbang, stesen keretapi, stesen bas atau apa juga stesen pengangkutan yang anda akan tiba. Ini akan membantu anda mendapatkan maklumat pengangkutan bagi destinasi seterusnya. Jika anda ingin menggunakan perkhidamtan teksi, adalah lebih selamat jika  mendapatkannya daripada kaunter perkhidmatan teksi. Walaupun harganya lebih sedikit tidak mengapa ini adalah bagi mengelakkan dari ditipu dan juga bagi tujuan keselamatan. Lebih-lebih lagi jika inilah kali pertama anda menjejakkan kaki di negara itu.  Jika budget adalah perkara penting, saya nasihatkan anda menggunakan pengangkutan awam seperti metro ataupun bas. Itupun jika  tidak membawa beg yang banyak dan besar.

Jika  lewat tiba di destinasi seperti pada waktu malam dan  anda pula seorang wanita, saya nasihatkan  untuk mendapatkan perkhidmatan kereta sewa dari hotel tempat penginapan     ( hotel pick-up service ). Adalah lebih baik jika mendapatkan tempat penginapan yang berhampiran dengan stesen ketibaan.

Simpan wang dan dokumen-dokumen penting di dalam beg tangan  kerana ini adalah lebih selamat dan mudah untuk mengeluarkannya jika diperlukan.

Sebelum memulakan pengembaraan, pastikan anda telah menukar matawang negara yang ingin dilawati. Bagi negara yang matawangnya tidak terdapat di Malaysia, saya nasihatkan membawa matawang USD atau EURO kerana matawang ini diterima di seluruh dunia.

Kebanyakan Negara di dunia ini adalah selamat untuk dilawati tetapi  terdapat juga Negara yang kadar jenayahnya tinggi. Anda perlu lebih berhati-hati.

Friday, 3 June 2011

Istanbul ( Hari Kedua )

27 Februari 2010

Program pertama kami pada hari ini adalah melawat Spice Market dan  mendapatkan agensi pelancongan bagi survey pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan. Jam 9.00 pagi selepas menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh Hotel ( kadar sewa hotel 35 Euro semalam untuk bilik twin berserta sarapan pagi ) kami keluar dari hotel. Dengan peta Sultanahmet di tangan kami melangkah menuju ke Spice Market ( pasar rempah ) Baru beberapa langkah kami berjalan melalui deretan kedai-kedai,  kami disapa oleh seorang lelaki sudah tentunya berbangsa Turki. Dia memberi salam dan bertanya kami dari mana?. Belumpun sempat kami menjawab, dia bertanya lagi, Malaysia/Indonesia? Kami menjawab Malaysia. Apabila mendengar yang kami dari Malaysia, dia terus mengajak kami masuk ke kedainya. Di bahagian bawah kedai dipamerkan barangan seramik buatan tangan tempatan. Memang cantik dan harganya pun boleh tahan mahal.

Kemudiannya dia mempelawa kami ke tingkat atas bangunan untuk menunjukkan carpet dan kilim. Saya tak pasti apa bezanya, lagi pula kami melawat Istanbul bukan untuk shopping hanya untuk melihat kecantikan Istanbul yang banyak diperkatakan orang dan juga mengenal budayanya. Untuk tidak mengecewakan pemilik kedai itu, kami pergi juga ke tingkat atas untuk melihat karpetnya. Maklum ajelah semasa kami datang musim sejuk, tak ramai pelancong  yang melawat  Turki.

Pemilik kedai itu bernama Deniz. Apabila saya sebut Dennis, dia kata dia bukan American tetapi Turkish. Deniz bermakna laut katanya. Kami kemudiannya dihidangkan dengan teh limau  panas. Adalah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Turki menghidangkan teh panas yang disebut ‘cai’ kepada tetamunya.

Beginilah rupa teh yang dihidangkan kepada kami



Bersambung…

Istanbul ( Hari Pertama )

26 Februari 2010
Seawal jam 7.00 pagi kami telah check-out dari hotel untuk ke Dubai International Airport untuk penerbangan ke Istanbul, Turki pada jam 11.35 pagi. Kami menaiki teksi dengan tambang 20 AED ( RM18 ). Amat mudah untuk mendapatkan perkhidmatan teksi. Kalau nasib anda baik, teksi telah sedia menunggu di hadapan hotel  jika tidak anda hanya perlu berjalan beberapa langkah untuk menahan teksi di tepi jalan.
Urusan daftar masuk penerbangan dan imigresen berjalan lancar. Tidak seperti di Kochi, India yang mengambil masa yang agak lama. Tepat jam 11.35 pagi kapalterbang berlepas. Penerbangan ini mengambil masa 1 jam dan tepat  pada jam yang sama cuma tempat yang berlainan kami selamat mendarat. Doha, Qatar destinasi kami sebelum ke Istanbul. Perbezaan waktu antara Dubai dan Doha adalah 1 jam.    Transit kali ini mengambil masa 2 jam 20 minit sebelum penerbangan  seterusnya pada jam 13.55 petang ke Istanbul.

Jam 5.35 petang kami selamat mendarat di Ataturk International Airport. Airport ini adalah lapanganterbang utama di Istanbul dan telah dibuka pada tahun 1924. Terletak di Yesilkoy dan jaraknya 24km dari pusat bandar. Maklumat lanjut anda boleh perolehi dari web site http://en.wikipedia.org/wiki/Ataturk_International_Airport. Urusan kemasukan ke Istanbul juga amat mudah. TIdak perlu mengisi Arrival Card dan urusan di kaunter pemeriksaan  imigresen juga berjalan lancar. Tiada soalan yang ditanya,. Bagi pemegang passport Malaysia, visa tidak diperlukan bagi tempoh 90 hari.
Selepas selesai urusan imigresen, kami mengambil bagasi dan seterusnya mencari perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke Sultanahmet tempat  tinggal kami selama berada di Istanbul. Matawang Turki iaitu Turkish Lira ( TL ) tidak diperolehi di Malaysia, kami membawa matawang USD dan EURO. Terdapat beberapa kaunter pertukaran wang ( money changer ) di airport so sebelum mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam kami perlu menukar sedikit duit terlebih dahulu. Kadar pertukaran adalah RM2.20 bagi 1 TL.
Kami pada awalnya bercadang untuk menaiki teksi ke Sultanahmet. Memandangkan bayaran yang dikenakan adalah tinggi iaitu 70TL ( RM154 ) hingga sampai ke hotel, bagi menjimatkan belanja kami naik metro. Dari airport ke Zeytinburnu dan kemudian menukar metro ( laluan berbeza ) ke Sultanahmet.Tambang hanya 3.5TL  ( RM7.70 ) seorang.
Sewaktu tiba di Stesen Sultanahmet, hari telah gelap. Lebih kurang jam 7.00 malam. Cuaca pula sejuk ( 5 darjah celcius ). Di situ kami bertanya pegawai bertugas di stesen arah ke Meddusa Hotel. Memandangkan kemahiran berbahasa Inggerisnya amat terhad tanpa banyak bicara  , dia kemudiannya meminta seorang penjual teh di tepi jalan untuk menghantar kami ke Hotel Meddusa. Baru aje bergerak beberapa langkah, pemuda itu kemudiannya pula  meminta seorang pejalan kaki untuk menghantar kami ke hotel. Lelaki pertengahan usia itu pula menghantar kami ke sebuah hotel yang berhampiran ( Apple Hotel ) dengan stesen dan meminta petugas di situ untuk menelefon Hotel Meddusa untuk menjemput kami. Selepas menunggu lebih kurang 15 minit, seorang lelaki datang menjemput kami. Dalam bahasa Turki yang kami tidak fahami dia menyuruh kami mengikutnya. Tanpa ada rasa takut atau curiga kami mengikut lelaki itu berjalan kaki menuju ke Hotel Meddusa yang jaraknya 5 minit aje dari hotel apple.
Apa yang saya nak beritahu anda adalah masih ramai lagi orang baik di luar sana. Jangan ada rasa takut jika hendak mengembara secara sendiri. Istanbul adalah bandar selamat untuk dilawati dan orang-orangnya peramah dan bersedia membantu. Walaupun agak sukar untuk berjumpa dengan orang yang fasih berbahasa Inggeris tetapi bahasa bukan penghalangnya.