Followers

Tuesday, 8 November 2011

Buang Gaya Hidup Sedentari Untuk Atasi Osteoporosis





Text oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Gaya hidup moden yang diamalkan secara meluas oleh generasi kini, iaitu gaya hidup sedentari atau santai didapati menjadi punca pelbagai isu kesihatan.

Gaya hidup seharian pula banyak tertumpu kepada duduk dan menonton televisyen, membaca, tidur, melepak dan menghabiskan banyak waktu di depan komputer tanpa banyak melibatkan pergerakan.

Sedangkan rutin senaman dan aktiviti luar hanya melibatkan segelintir masyarakat sahaja.

Malah kajian membuktikan bahawa tiga daripada empat warganegara iaitu sebahagian besar daripada penduduk Malaysia, hanya aktif menggunakan minda tanpa aktiviti fizikal.

Ini diburukkan lagi dengan tabiat pemakanan terkini orang Malaysia yang menyukai pemakanan gaya barat yang tinggi lemak dan kolestrol tetapi rendah fiber seperti stik daging atau potongan kambing muda, pizza pelbagai keju atau pasta.

Dengan kemajuan dalam bidang perubatan, Malaysia dijangka mempunyai 3.4 juta orang berusia lebih 60 tahun menjelang 2020.

Namun ini turut membimbangkan kerana ramai rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan kesannya dapat dilihat apabila mereka meningkat usia.

KEPENTINGAN KESEDARAN KESIHATAN

Sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia menyedari betapa gaya hidup kurang sihat boleh membawa mereka menghidap pelbagai jenis penyakit terutama apabila kos perubatan pasti melonjak lebih tinggi pada masa akan datang.

Satu daripada kesan gaya hidup kurang sihat yang akan dihadapi seiring dengan pertambahan usia ialah osteoporosis.

Osteoporosis sukar dikesan hinggalah penghidap mengalami patah tulang pinggul atau belakang yang adalah komplikasi paling kerap dan serius sakit tulang rapuh.

Malah menurut pakar bedah ortopedik dan trauma, Dr Chin Chee Howe, ramai yang tidak menyedari menghadapi sakit tulang rapuh memandangkan pemeriksaan x-ray hanya dapat mengesan tulang yang telah kehilangan sekurang-kurangnya 50 peratus jisim tulang.

Beliau menegaskan bahawa, badan manusia tidak kira usia sentiasa memerlukan kalsium memandangkan tulang sebenarnya tisu hidup yang sentiasa terurai dan dibentuk semula oleh badan.

WANITA BERISIKO TINGGI

Wanita mempunyai tiga kali ganda lebih risiko berbanding lelaki untuk menghadapi sakit tulang rapuh, ini menyebabkan isu osteoporosis dan gaya hidup kurang sihat sangat penting bagi golongan ini.

Jumlah kalsium dalam badan wanita adalah lebih rendah ekoran jisim tulang dan berat badan yang lebih ringan, tabiat merokok, kurang makan demi menjaga bentuk badan, hamil dan menopaus selain mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

"Lebih menakutkan, kajian mendapati wanita lewat 60an yang patah tulang pinggul sebenarnya lima kali ganda berisiko lebih tinggi untuk mati dalam tempoh setahun akibat komplikasi patah tulang dan terlantar seperti darah beku," jelas Dr Chin.

Hakikatnya, kesan buruk yang timbul dari kemerosotan jisim tulang tidak dapat dielakkan malah menjelang 2050, lebih 50 peratus kes patah tulang pinggul global dijangka bakal berlaku di Asia.

"Apatah lagi dengan kos mengurus dan merawat kes patah tulang yang tinggi, adalah amat penting untuk mengatur strategi awal dan bangun mengambil langkah proaktif bersenam bagi melindungi tulang mereka," kata Chin sambil mengingatkan bahawa usaha mencegah lebih baik berbanding merawat.

TERUSKAN AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Justeru, bagaimana persediaan anda yang terbiasa dengan tubuh badan berfungsi normal sekiranya dalam sekelip mata mengalami patah tulang pinggul ekoran osteoporosis dan terpaksa pula menjalani kehidupan dengan kesakitan dan pergerakan terhad atau berkerusi roda?

Pakar berpendapat bahawa satu-satunya cara melindungi tulang ialah melalui perubahan gaya hidup iaitu amalan pemakanan yang betul dan rutin senaman secara berkala sebelum tulang mencapai jisim tertinggi pada usia 30 tahun.

Amalan diet seimbang serta memastikan keperluan kalsium dipenuhi, dibantu dengan vitamin D menerusi pendedahan kepada sinar matahari selamat, dan magnesium khususnya dari sayuran hijau serta senaman setiap hari boleh melindungi wanita dari masalah tulang rapuh.

Dr Chin mencadangkan aktiviti senaman paling mudah untuk menguatkan tulang ialah berjalan pantas selama 30 minit sehari atau angkat berat yang dapat membantu proses pembentukan semula tulang, selain pengambilan makanan terutama susu berkalsium tinggi dan pelbagai produk tenusu.

"Aktiviti fizikal penting bagi membina dan mengekalkan jisim tulang bagi membolehkan kita menggunakan potensi tulang kita dengan sepenuhnya, selain dapat mencergaskan badan dan mental," tegas beliau sambil mengakui susu berkalsium tinggi dan yogurt rendah lemak adalah pilihan terbaik wanita.

KHASIAT UNTUK TULANG

Berbicara tentang cara pengambilan kalsium, beliau menyarankan agar makan makanan dengan kandungan kalsium tinggi adalah lebih berkesan berbanding suplimen kalsium yang mudah didapati di pasaran, selain magnesium dan vitamin D juga penting bagi membantu badan menyerap kalsium dengan lebih berkesan.

Contoh terbaik makanan yang mengandungi khasiat lengkap untuk kesihatan tulang ialah, produk tenusu, sayur berdaun hijau, produk kacang soya seperti tauhu dan tempe, ikan seperti sardin, salmon dan tuna, dan makanan laut.

Pokoknya, setiap individu perlu mempunyai kesedaran kesihatan seawal mungkin dengan mendapatkan rawatan awal atau pencegahan penyakit awal bagi bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang bakal mengganggu kesihatan dan kesejahteraan hidup apabila lanjut usia.

Sementara itu, hasil kaji selidik Fonterra yang merupakan syarikat pengeluar dan pengedar susu terbesar New Zealand, mendapati sebahagian besar wanita Malaysia menyedari kepentingan kalsium untuk kesihatan tetapi malangnya, ramai yang mengambil ringan kerana menganggap mereka terlalu muda untuk merasa bimbang.

Bagaimanapun, Fonterra baru-baru ini telah mengiatkan lagi kempen mempromosi rangkaian produk tenusu Anlene yang diperbaiki dari masa ke semasa termasuk produk terbaru Anlene Concentrate, minuman susu kotak kecil yang mengandungi lebih banyak kalsium berbanding susu segar biasa.

-- BERNAMA

Kurang Tidur Boleh Mudaratkan Kesihatan

Oleh Hazlinda Hamzah

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Tidur yang lena pada sebelah malam membantu memperbaharui proses-proses fizikal dan mental tetapi ramai pula yang mengalami masalah tidur.

Kekurangan tidur berpunca kerana pelbagai masalah termasuk insomnia, 'sleep apnea', 'narcolepsy' dan satu lagi masalah yang kurang diberi perhatian, tetapi lebih lazim, Gangguan Ritma Sirkadian/Ritma Harian (CR).

Bertindak sebagai jam biologi tubuh manusia CR mengawal pelbagai proses fisologi mengikut kitaran 24-jam.

CR dikawal oleh nukleus suprachiasmatic (SCN), satu sistem kawalan yang terletak di bahagian hipothalamus otak dan menjana ritma 24-jam bagi kesemua tisu tubuh berdasarkan kepada input persekitaran, khasnya cahaya.

Sistem tubuh yang berjalan mengikut CR adalah kitaran tidur-bangun, sistem kawalan suhu dan tekananan darah, serta sistem endokrin.

"Apabila jam biologi ini terganggu, ia menyebabkan Gangguan CR yang mencetuskan kesan buruk kepada kesihatan," kata Profesor Dr Azhar Md Zain semasa bercakap mengenai rawatan moden untuk menguruskan dengan lebih baik Gangguan CR.

Jadi kekurangan tidur serta simptom lain yang mengiringinya seperti kekurangan selera, suhu badan yang turun naik, lesu dan perubahan mood dengan mendadak, mungkin berpunca kerana Gangguan CR.

CR YANG TERKELIRU

Perunding Psikiatri di Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, University Putra Malaysia (UPM) ini menjelaskan bahawa kitaran tidur-bangun yang terjejas kerana Gangguan CR adalah antara punca utama kemurungan.

"Oleh itu terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran umum akan potensi kesan buruk gangguan CR," kata beliau dan menambah kata bahaya yang disebabkan oleh Gangguan CR lazimnya di pandang ringan.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbangkan kepada Gangguan CR, termasuk makanan dan tabiat.

Contohnya, mereka yang selalu bersarapan pagi dengan nasi lemak tidak dapat tidur selepas makan nasi lemak pada malam kerana jam biologi CR melalui penyelarasan semula bagi menyesuaikan operasinya seperti pada waktu pagi.

Tempoh tidur biasa bagi mereka yang sihat adalah dari lima hingga lapan jam bergantung pada usia. Kekurangan tidur membawa kepada kelesuan fizikal dan mental, kurangnya tumpuan, perubahan mendadak dalam mood dan dalam jangka panjang boleh menyebabkan kemurungan.

Prof Dr Mohamad Hussain Habil, dari Jabatan Perubatan Psikologi University Malaya menunjukkan CR seseorang boleh mengalami gangguan apabila menjalani aktiviti tertentu pada waktu yang kurang sesuai.

"Golongan muda terutama mereka yang berusia antara 25 dan 35 tahun lebih suka bersenam selepas 7 malam. Ini kerana waktu itu lebih sesuai bagi mereka pergi ke gimnasium selepas kerja, tetapi ini tidak baik bagi tubuh. Ia adalah faktor penyumbang kepada gangguan tidur," katanya.

Natijahnya, CR yang mengalami gangguan menyelaraskan semula sistem lazim.

MERAWAT GANGGUAN CR

Adakah terdapat rawatan bagi gangguan CR? Sebenarnya masalah ini masih tidak diketahui ramai dan mereka yang mengetahuinya pun tidak mahu menjalani rawatan.

"Lebih ramai golongan muda mengalami gangguan CR sekarang ini, mereka dalam lingkungan usia 30-an boleh menerima ubat-ubatan dengan lebih baik dan lebih mudah pulih," kata Dr Mohamad.

Memahami kesan daripada Gangguan CR adalah penting kerana ia akan meningkatkan peluang untuk melanjutkan rawatan kepada bilangan pesakit yang lebih ramai.

"Kesan sampingannya adalah rendah dan oleh itu para pesakit harus mengambil ubat-ubatan antidepresan dengan penuh disiplin. Antidepresan tidak menyebabkan ketagihan.

"Sebenarnya, ubat-ubatan yang lebih berkesan dan selamat sentiasa diteroka untuk merawat dengan lebih baik mereka yang mengalami gangguan ini," tambah Dr Azhar.

Kedua-dua pakar perubatan ini mengingatkan mereka yang mencari rawatan alternatif bahawa perubatan herba atau tradisional juga tidak bebas daripada kesan sampingan.

Satu antidepresan baru, Agomelatine, yang diperkenalkan setahun yang lepas lazimnya disyorkan memandangkan ia boleh diambil bersama ubat lain dan mempunyai kesan kardio-toksik minimum.

Antidepresan ini menala semula CR apabila diambil pada waktu malam dan membolehkan tidur yang lena dan bangun lebih segar pada keesokannya bagi produktiviti optimum!

-- BERNAMA

Malaysia Perlu Jadi Destinasi Makan Untuk Tarik Kunjungan Semula Pelancong

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Malaysia perlu menjadi destinasi makan yang sukar dilupakan bagi menarik pelancong berkunjung semula ke negara ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit.

Sehubungan itu, beliau menggesa sektor swasta agar bekerjasama dengan kerajaan bagi mempromosi pelancongan kulinari tempatan kerana ia merupakan cara terbaik bagi pelancong mengetahui tempat baru yang menarik serta eksotik.


"Ini sudah pasti akan membantu menjana ekonomi kerana dikatakan hampir seratus peratus pelancong akan berbelanja untuk membeli makanan di destinasi yang mereka kunjungi," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Festival Makan Kitchen Eksotik Sarawak di sini.


Acara kemuncak festival tiga minggu itu, yang bermula hari ini hingga 27 Nov, ialah resipi masakan eksotik tradisional Sarawak oleh dua chef undangan Bidayuh yang boleh didapati pada harga RM59 bagi seorang dewasa untuk makan tengah hari dan RM89 untuk makan malam.


Festival itu juga mempamerkan tarian etnik penduduk Sarawak serta kemahiran mereka menghasilkan kraftangan yang tahan lama di restoran berkenaan sepanjang tempoh ia berlangsung.


-- BERNAMA

Tuesday, 1 November 2011

Khasiat Daun Penghias Makanan




Daun salad bukan sahaja digunakan untuk menghiaskan makanan, malahan bagus untuk dijadikan bahan utama sayuran mentah. Daun salad atau nama sainsnya Lactuca sativa kaya dengan zat besi, kalsium,fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C, magnesium dan zink itu mengandungi sejenis kompaun yang dikenali sebagai lactucarium yang bertindak sebagai sedatif.

Khasiat daun salad :
  • merupakan penawar kepada masalah insomia atau gangguan tidur.
  • Daun ini juga mengandungi karotin, serat dan air yang dapat menghilangkan rasa dahaga dan juga bertindak melancarkan sistem pernafasan .
  • Salad juga mampu mengurangkan paras kandungan gula dalam badan, mencegah kanser, mengubati kencing manis, gout, penyakit jantung dan sistem penghadaman


Salad merupakan pilihan yang terbaik bagi diet yang sihat. Oleh itu,  sebaiknya jangan tambahkan perasa yang mengandungi lemak yang tinggi secara berlebihan. Penambahan mayonis, keju dan minyak zaitun perlulah dibuat dengan kuantiti yang sedikit.


Projek Kampung WiFi

Pernah dengar mengenai Projek Kampung WiFI? Apa tu Kampung WiFi? WiFi yang aku tahu adalah istilah perkataan teknologi maklumat yang merupakan kependekan kepada Wireless Fidelity di mana istilah ini telah diberikan secara rasmi oleh WECA ( Wireless Ethernet Compatibility Alliance ). 


Diperkenalkan menerusi produk-produk tanpa wayar pada penghujung tahun 1998. Penggunaannya merujuk kepada sistem rangkaian pautan tanpa wayar yang menggunakan hubungan jalurlebar (broadband), titik capaian ( access point ) dan kad Wi-Fi yang dipasang di dalam komputer bagi membolehkan pengguna berkongsi fail dan pencetak serta melayari Internet sama seperti rangkaian LAN biasa.




Apa pula dengan Projek Kampung WiFi?

Projek Kampung Wifi pula merupakan projek Kerajaan yang menyediakan  kemudahan sambungan internet tanpa wayar, ke lebih 500 kampung terpilih di seluruh negara mulai tahun hadapan.  Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah meluluskan Peruntukan bagi meneruskan projek itu dengan kos antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap kampung. Walaupun semua kampung itu sudah dikenal pasti dan dalam perincian SKMM, syarikat telekomunikasi juga di alu-alukan menyumbangkan khidmat dan sokongan bagi menjayakan program itu ke kawasan luar bandar di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kampung WiFi tidak memerlukan peruntukan tinggi dan mudah untuk disediakan, ia boleh dibangunkan di mana-mana kawasan yang mempunyai perkhidmatan telefon awam, cuma kalau menggunakan sambungan satelit mungkin kosnya tinggi sedikit.